
Mulai tahun ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia telah melaksanakan inisiatif e-Invois secara berperingkat kepada semua kategori pembayar cukai.
Jika anda seorang pekerja makan gaji biasa (tetap), perkara ini mungkin tidak terlalu menjejaskan anda. Tetapi, jika anda adalah seorang Freelance Developer, peniaga Enterprise, atau menjalankan side hustle ambil projek buat sistem, pelaksanaan e-Invois ini akan mengubah cara anda mengenakan bayaran kepada klien.
Apa Itu e-Invois LHDN Secara Ringkas?
Sebelum ini, bila klien minta bil, anda cuma buka Microsoft Word/Excel, taip invois, hantar PDF, dan simpan salinan untuk cukai hujung tahun.
Dengan e-Invois, setiap transaksi B2B (Perniagaan ke Perniagaan) atau perkhidmatan anda perlu didaftarkan dan disahkan secara digital (real-time) melalui portal MyInvois LHDN sebelum invois tersebut dihantar kepada klien. Invois yang tidak melalui portal ini tidak diiktiraf sebagai perbelanjaan sah untuk penolakan cukai syarikat klien.
Tiga Kesan Utama Kepada Freelance Developer
1. Klien Syarikat (B2B) Akan Minta e-Invois Sah
Jika klien anda adalah syarikat besar atau agensi kerajaan (contohnya anda buat website untuk mereka), bahagian Kewangan mereka pasti akan menuntut e-Invois yang ada kod QR LHDN. Jika anda tidak reti menyediakannya, mereka mungkin sukar mahu berurusan dengan anda lagi kerana bayaran kepada anda tidak boleh dituntut sebagai perbelanjaan perniagaan mereka.
2. Tiada Lagi Ekonomi Bawah Meja (Shadow Economy)
Oleh kerana semua transaksi e-Invois dihubungkan terus ke pengkalan data LHDN dalam masa nyata (real-time), pendapatan tahunan hasil projek freelance anda tidak boleh lagi “disorok”. Anda wajib mengisytiharkan cukai pendapatan dengan tepat dan telus.
3. Pengecualian dan Portal MyInvois Percuma
Bagi pembangun freelance kecil-kecilan (mikro), jangan risau. Anda tidak perlu membeli perisian Point of Sales (POS) atau sistem perakaunan berharga ribuan ringgit. LHDN menyediakan Portal MyInvois secara percuma di mana anda boleh memasukkan butiran invois secara manual untuk disahkan.
Kesimpulan
Pelaksanaan e-Invois bukanlah untuk menyusahkan freelancer, tetapi untuk mendigitalisasi dan merekodkan transaksi ekonomi negara dengan lebih adil. Sebagai pembangun perisian, ini juga sebenarnya membuka peluang keemasan (lubuk rezeki) kepada anda untuk menawarkan khidmat integrasi API e-Invois (API integration) kepada syarikat-syarikat PKS yang terdesak mencari jurutera tempatan!